headertauliah

Ucapan Aluan Panglima Angkatan Tentera

panglimaBismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan izin-nya jua kita sekali lagi dapat menjayakan Istiadat Perbarisan Diraja dan Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Institusi Pengajian Tinggi Awam ke 31 pada tahun ini. Di sini saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada saudara dan saudari yang akan ditauliahkan sebagai Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Tentera Darat, Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).


Pentauliahan saudara dan saudari pada hari ini adalah seiring dengan usaha murni Pasukan Simpanan untuk bersama-sama menyumbang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan usaha merealisasikan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH). Saya turut berbangga di atas kejayaan yang telah saudara dan saudari capai pada hari ini. Di zaman yang serba maju ini, ATM amat memerlukan pegawai-pegawai yang mempunyai kemahiran dan ilmu seperti mana saudara dan saudari miliki. Kemahiran ilmu akademik dan ilmu ketenteraan yang telah anda pelajari amatlah berguna dan boleh diaplikasikan di dalam apa jua bidang yang anda ceburi setelah tamat pengajian kelak. Saya yakin gabungan pengalaman yang diperolehi semasa latihan dan pengetahuan akademik yang dimiliki oleh anda semua dapat digunakan sepenuhnya dalam meningkatkan profesionalisme di dalam ATM. Semoga dengan tekad dan dedikasi yang telah disemai semasa menjalani latihan dapat dikekalkan di dalam menempuh cabaran di masa hadapan.


Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan ribuan terima kasih kepada Universiti Utara Malaysia, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan semua pihak yang terlibat di atas usaha gigih dalam menjayakan Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Intitusi Pengajian Tinggi Awam Ke – 31.


Sekian,
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


JENERAL TAN SRI DATO' SRI ZULKIFELI BIN MOHD ZIN
PANGLIMA ANGKATAN TENTERA