headertauliah

Ucapan Aluan Timbalan Panglima Tentera Darat

timbalanpanglimaBismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Bersyukur kita ke hadrat IIahi kerana dengan keizinan dan inayahNya pada hari yang penuh bersejarah ini dapat kita melaksanakan Istiadat Perbarisan Diraja dan Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-31. Dikesempatan ini saya dengan sukacitanya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada saudara dan saudari yang akan ditauliahkan sebagai Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM). Perjuangan serta semangat yang kental, berdedikasi dan mutu tatatertib yang dipamerkan selama tiga tahun ketika menjalani latihan telah membuahkan hasil kepada saudara dan saudari sekalian.


Saya turut merasa bangga di atas kejayaan yang telah saudara dan saudari capai pada hari ini. Sesungguhnya kejayaan yang dihasilkan daripada usaha gigih dan semangat waja saudara dan saudari semasa menjalani latihan merupakan salah satu daripada titik permulaan untuk terus berjuang di dalam kerjaya sebagai pegawai di dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia mahupun perkhidmatan awam dan swasta. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran saudara dan saudari yang berhasrat dan berminat untuk menyertai perkhidamatan anggota tetap dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Darat Malaysia.


Dalam kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua Institusi Pengajian Tinggi Awam, khususnya kepada Universiti Utara Malaysia selaku penganjur dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam menjayakan Istiadat Perbarisan Diraja dan Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Institusi Pengajian Tinggi Awam Ke-31 pada tahun ini.


Sekian,
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


LEFTENAN JENERAL DATO’ SERI PANGLIMA HJ AHMAD HASBULLAH BIN HJ MOHD NAWAWI
TIMBALAN PANGLIMA TENTERA DARAT