headertauliah

Ucapan Aluan Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan

asisten

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Syukur Alhamdulillah dengan izin dan inayah-Nya sekali lagi saya diberi peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam edisi terkini buku cenderamata sempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Institusi Pengajian Tinggi Awam untuk kali ke – 31. Saya amat mengalu-alukan kemasukan saudara dan saudari sebagai Pegawai Sukarela di dalam Pasukan simpanan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Pasukan Simpanan Tentera Darat. Marilah kita bersama-sama membawa anjakan paradigma dalam pasukan sukarela dengan mempergunakan sepenuhnya kebolehan dan kepakaran yang telah ditimba dalam latihan PALAPES.


Saya berharap latihan sebagai Pegawai Kadet yang telah saudara dan saudari tempuhi selama tiga tahun dapat mencorak saudara dan saudari menjadi seorang individu yang berkeyakinan, berketrampilan, dan tahan lasak dari segi fizikal dan mental. Saya amat berharap saudara dan saudari dapat meneruskan sumbangan bakti kepada negara dengan terus menceburi dan aktif dalam latihan yang dianjurkan oleh rejimen masing-masing kelak.


Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Komandan PALAPES Universiti Utara Malaysia yang telah sudi menjadi tuan rumah bagi pentauliahan kali ini. Tidak ketinggalan, ribuan terima kasih diucapkan kepada semua Komandan PALAPES Institut Pengajian Tinggi Awam yang sentiasa menyokong program PALAPES dengan penuh dedikasi.


Ucapan terima kasih juga kepada semua pegawai dan kakitangan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan istiadat pentauliahan ini.


Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Brigedier Jeneral Datuk Mahadi bin Abdul
ASISTEN PANGLIMA
BAHAGIAN PASUKAN SIMPANAN