SELAMAT DATANG

 

Bismillahirahmanirrahim

Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya Laman Sesawang Pasukan PALAPES UUM telah berjaya diwujudkan oleh Pegawai Sukarela PALAPES UUM sendiri dengan kerjasama semua pihak terutamanya Ketua Jurulatih dan semua warga PALAPES UUM.

Sebagai Komandan PALAPES UUM, saya berasa amat berbangga sekali dan mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Jurulatih, Pegawai-pegawai Sukarela, Pegawai Latih serta barisan jurulatih PALAPES UUM yang telah banyak mengorbankan masa bersama Pegawai Kadet berbanding dengan ahli keluarga di rumah. Pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan semua ini amatlah disanjung tinggi dan semoga mendapat ganjaran pahala yang berganda oleh Allah SWT. Saya juga berharap barisan jurulatih PALAPES UUM jangan berasa jemu dalam mendidik semua pegawai kadet PALAPES UUM dalam usaha pihak universiti membangunkan pelajar-pelajarnya secara holistik dan sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.

Oleh yang demikian, saya berharap semua Pegawai Kadet PALAPES UUM tidak mensia-siakan pengorbanan mereka dan senantiasa mendalami dan memahirkan diri dengan ilmu ketenteraan selaras dengan objektif penubuhan PALAPES di Universiti Awam di Malaysia.

Serlahkan potensi yang ada dalam pegawai kadet PALAPES UUM semua dengan membuktikan kepada universiti dan masyarakat bahawa anda semua boleh menjadi seperti permata, yang terhasilnya bukan akibat dibelai manja tetapi lahirnya akibat mengharungi tekanan demi tekanan serta latihan yang lasak.

Akhir kata, saya mendoakan agar semua pegawai kadet PALAPES UUM menguatkan tekad dan iltizam untuk sama-sama mengorak langkah dalam mempertahankan kedaulatan Negara. Dalam arus globalisasi, cabaran dari segi sosial, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa kepada Negara adalah lebih kompleks. Generasi muda yang mempunyai kekuatan minda, kecekalan hati, kemahiran serta keupayaan yang tinggi dapat menyokong perancangan negara dan memenuhi harapan bangsa. Saudara dan saudari adalah pemangkin pembangunan dan kebangkitan Negara.

 

‘’WE ARE PALAPES UUM’’

Sekian, terima kasih dan salam hormat.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Komandan PALAPES UUM

ILMU · BUDI · BAKTI